Friday, January 16, 2009

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini menjadi taruhan baik BN mahupun PR untuk menguji kedudukan semasa mereka di kalangan rakyat jelata. UMNO. Perubahan yang dijanjikan oleh Perdana Menteri ketika pilihan raya umum ke 13 Mac tahun lepas nampaknya hanyalah sekadar janji. Saya tidak melihat sebarangan perubahan besar dalam dasar atau polisi negara yang membawa kesejahteraan kepada rakyat. Penubuhan MACC (Malaysia Anti Corruption Agency) yang diwar-warkan ‘synonym’ atau‘ identical’ dengan ICAC di Hong Kong dikatakan merupakan satu-satunya usaha Pak Lah agar dapat meninggalkan sedikit nama baik apabila terpaksa melepaskan jawatan beliau dalam masa yang terdekat. Isu yang boleh dibangkitkan ialah harga petrol yang melambung naik, harga barangan keperluan yang semakin meningkat dan ekonomi negara yang sering diwar-warkan baik walaupun banyak bisnes yang mengalami kerugian disebabkan kelembapan ekonomi.
Jentera pilihan raya kecil kali ini juga dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib seperti di Permatang Pauh. Sebenarnya, saya tidak merasakan bahawa calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang akan bertanding tetapi sebaliknya Datuk Seri Najib yang lebih menonjol. Di kaca TV mahupun di akhbar harian, kita lebih didedahkan dengan ucapan daripada TPM. Calon BN yang melepaskan jawatan sebagai Timbalan Menteri ditawarkan untuk menjawat jawatan menteri semula sekiranya beliau menang Sabtu ini. Menurut TPM, rakyat ditanya untuk memilih seorang Menteri atau calon PAS. Bagi saya, ini merupakan satu ‘approach’ yang tidak baik. Adakah rakyat Terengganu diajar untuk mengejar status atau memilih jawatan daripada memilih seorang wakil rakyat yang berjiwa rakyat?
Seterusnya, isu wang ehsan ditimbulkan. Menurut TPM, kekayaan Terengganu adalah nikmat Tuhan dan Kerajaan Persekutuan memberikan dana daripada royalit minyak yang amat besar lebih daripada kerajaan Kelantan mahupun Pahang. Wahai Kerajaan Persekutuan! Bukankah rakyat Terengganu patut menerima royalti yang lebih kerana merekalah penyumbang besar kepada pendapatan negara? Mengapa tidak diceritakan mengenai balasan buruk melalui wang ehsan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan ketika PAS menerajui pemerintahan Kerajaan Terengganu dulu? Ke mana wang royalti dulu lesap? PAS. Nampaknya PAS semakin diterima baik oleh masyarakat bukan Melayu sehingga ditubuhkan kelab penyokong PAS. Masyarakat bukan Melayu sebenarnya tidak menolak Islam tetapi menolak pelaksanaan Islam secara ‘extreme’. Bagi mereka, pelaksanaan hukum hudud yang membenarkan tangan dipotong sekiranya mencuri adalah ‘extreme’ (sungguhpun bagi orang Islam ini tidak benar). Isu hudud yang dibangkitkan merupakan satu kesalahan besar oleh PAS dan boleh mengurangkan undi orang bukan Melayu. Sekiranya PAS ingin menjadikan sebahagian daripada Kerajaan Malaysia, PAS perlu meninggalkan isu hudud. Menurut Karpal Singh, Malaysia adalah sebuah negara sekular dan bukan negara Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Isu hudud memang ditolak UMNO dan MCA dan juga masyarakat bukan Melayu. Apa yang saya ingin utarakan ialah PAS perlu sedar realiti politik sekarang. Dalam membentuk sebuah negara yang berkonsep rakyat berbilang kaum dan hak sama rata dan pada masa yang sama menghormati keistimewaan kaum Bumiputra, PAS tidak boleh hanya mengutamakan kepentingan agama Islam sahaja. Contohnya, pelaksanaan dasar Islam di negari Kelantan memang boleh tetapi tidak kepada Kerajaan Malaysia. Kalau hukum hudud dirasakan baik, laksanakanlah di negeri yang diterajui Pas sahaja dan bukan Kerajaan Malaysia. Penerimaan Calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut di kalangan rakyat Terengganu bagi saya lebih baik daripada calon BN tetapi kalau ditawarkan pelbagai janji, ianya akan menjadi satu tanda tanya. Pada masa yang sama, PR akan menguji kekukuhan gabungan parti setelah pelbagai insiden yang berlaku seperti perbalahan sesama parti (eg. isu stesen bus klang) dan antara parti (eg hukum hudud). Kita dengarkan ucapan RPK yang bagi saya amat menepati rintihan kaum Cina yang dikatakan akan menjadi penentu kemenangan calon PAS ataupun UMNO.
Satu kesalahan besar UMNO khususnya ialah membebaskan Ahmad Ismail daripada sebarang dakwaan setelah melemparkan kata-kata sentimen berbau perkauman kecuali tindakan disiplin parti. Di sebaliknya, pemberita yang melaporkan perkara yang benar ditahan ISA dan kononnya dilakukan untuk menjaga keslamatan beliau. Begitu juga dengan penahanan Teresa Kok yang kononnya didakwa menimbulkan isu perkauman melalui isu Azan. Yang menjadi tanda soal ialah pegawai masjid berkenaan menolak penuduhan tersebut dan polis tidak menjalankan siasatan terperinci sebelum penahanan termasuk menyoal si pengadu yang dipercayai bekas MB Selangor. Memang sedih apabila melihat terdapat segelintir orang yang cukup daif pemikiran mereka dan amat sedih apabila orang Cina dilabel pendatang. Wawasan 2020 hanya tinggal sebagai satu wawasan sahaja yang tidak akan tercapai. **Ini hanya merupakan pandangan saya dari satu sudut kecil. Banyak lagi aspek yang boleh dibicarakan dan saya tidak memihak mana-mana pihak. Bagaimanapun, rakyat Kuala Terengganu yang akan menentukan segala-galanya. Kita mendoakan pilihan raya kali ini akan berjalan lancar dengan minimum rasuah, pengundi hantu dan sebagainya. Untuk makluman, ‘returning officer’ untuk pilihan raya kecil Datuk Mat Razali Kassim telah melepaskan jawatan beliau setelah aduan oleh PAS bahawa beliau berkempen untuk BN. Adakan ini menjadi satu petanda..?

No comments:

Related Posts with Thumbnails